Hidup di Bendang

Gambar hiasan terima kasih azmanmusa.com

Baru-baru ini aku berpeluang lagi ke situ. Tempat kami sekeluarga pernah menetap. Sudah lebih 30 tahun tempat itu kami tinggalkan. Rumah tempat kami berteduh telah tiada, telah lama menyembah bumi. Kelilingnya belukar dan hutan lalang yang tebal. Di bahagian hadapan kawasan peninggalan rumah tersebut masih terbentang sawah yang menghijau. Damai pemandangannya. Cuma bila dimasukkan kembali gambar-gambar dan kenangan lama di lokasi itu aku jadi syahdu.

Rumah itu tiangnya dari batang kayu bulat yg belum di belah. Dindingnya tepas buluh dan nipah. Lantai papan sayung di bahagian ibu rumah dan batang pinang yang di belah di bahagian dapur. Tangganya di buat dari kayu bulat di pahat dan dipasak. Binaan  begini entah layak entah tidak dipanggil rumah. Setengah orang mungkin memanggilnya dangau sahaja. Tapi inilah tempat kami sekeluarga berteduh dari hujan dan panas.

Telaga di bahagian belakang kiri luar rumah di adang dengan plastic biru. Di situ bilik air tempat mandi dan membasuh pakaian. Kerja yang lebih besar dilakukan di sorok hutan jauh dari rumah. Kalau perlu dilakukan waktu malam, masing-masing mengelak untuk menemankan adik-adik. Air telaga biasanya jernih. Sekali sekala keruh selepas hujan. Kerana dikelilingi sawah, airnya rapat di permukaan. Air dari telaga ini buat mandi, membasuh dan memasak.

Paling seronok musim selesai menanam padi. Air sawah dikeringkan.  Dimana sahaja terdapat lopak yang masih berair, di situ ikan-ikan terperangkap. Musim ini lah menangkap ikan. Ikan keli , haruan, sepat dan puyu ditangkap dengan mudah. Bukan setakat untuk dimakan ketika itu, tetapi dijemur dibuat buari atau di peram dibuat perkasam. Semacam pesta ketika itu. Entah dari mana datangnya begitu banyak ikan!

Kehidupan kanak-kanak yang baru berusia 6 tahun ketika itu penuh dengan keriangan. Seharian mandi dan bermain di taliair tanpa sebarang gangguan. Ayah sibuk bekerja. Lewat petang baru dia sampai di rumah. Emak sibuk dengan adik-adik, kalau tidak pun sibuk mengambil upah mengetam padi. Di usia itu aku belajar berenang dan menyelam. Jika ditemani teman-teman yang lebih berusia aku ikut mereka menjala ikan. Ikut mereka bertaut, menjaring dan memancing ikan. Kalau aku pulang membawa ikan hasil tangkapan wajah ibu pasti sedikit kebingungan. Anak sekecil ini dibiarkan dengan bahaya air. Air muka ibu layu berserah semoga Tuhan memelihara keselamatan anak-anaknya.

img_20160701_085741.jpg

Kakak bersekolah rendah ketika itu. Perjalanan ke sekolah lebih dari sejam berjalan kaki. Entah pukul berapa kakak bangun ke sekolah. Menjelang pukul 3 petang baru kakak balik. Bajunya basah dengan peluh, keletihan dan kelaparan. Kasut dan baju kakak kotor dengan warna air tanah tiap kali hujan. Di musim hujan kakak kerap berselipar jepun sahaja ke sekolah. Kadang-kadang ke sekolah cuma dengan berkaki ayam. Kasut yang kotor semalam belum sempat kering untuk dipakai hari ini. Seingat aku kakak hanya pergi balik ke sekolah. Tidak pernah ada homework atau ulangkaji. Malam kakak tidur awal keletihan.

Satu petang hujan lebat dengan kilat dan angin kencang. Di kawasan bendang, tiap kali hujan pasti diiringi ribut. Kawasan sawah padi tanpa pokok besar untuk menghalang angin. Biasanya melihat langit bewarna hitam, emak akan membawa kami tumpang berteduh di rumah jiran. Tapi hari itu ayah pulang kerja awal. Ayah ada di rumah ketika hujan lebat dan angin kencang. Ayah nampak gelisah. Kerapkali dia mengintai ke jalan dari celah-celah lubang di dinding tepas. Emak sibuk menadah air dari atap yang bocor di dapur. Emak pun nampak gelisah dan risau. Adik kecil berumur 6 bulan menangis di buaian. Adik cuma diam selepas diberi susu dan dipangku ibu.

Di luar hujan terus turun dengan lebatnya. Langit masih lagi hitam pekat. Tiada tanda-tanda hujan akan berhenti.

‘Tak rasa rumah ni bergoyang ker?’ tanya ibu.

‘Memang ler. Kan angin kuat’ ayah lebih memilih untuk diam sahaja.

‘ Dimana ler agaknya Rusni berteduh dari hujan lebat ni? ibu menyebut nama kakak.

‘ Tau ler dia cari tempat selamat tu.. ‘ jawapan ayah cuba meyakinkan dirinya sendiri.

‘ Kalau hujan ni sampai hari gelap macamana?’ soalan ibu sengaja buatkan Ayah tambah risau.

‘ Sekejap lagi berhenti ler hujan ni’

Pprakkk ; bunyi kayu patah.

‘ Cepat lari’ suara Ayah sambil dia menyambar adik yang dipangkuan ibu.

Aku mengikut ibu  bergegas ke pintu dapur. Kiri kanan ibu memimpin dua adik yang lain. Ayah ikut pintu hadapan dengan adik kecil.  Kami meredah hujan lebat kerumah jiran. Dari situ aku melihat rumah kami condong ditiup angin. Mungkin tumbang kalau angin kuat terus bertiup.

Sedang basah lenjun Ayah turun dari rumah jiran menuju balik ke rumah. Dia mencapai basikalnya dan meredah hujan lebat dan angin kencang.

‘ Ayah pergi cari  kakak’ kata ibu.

Gelap baru ayah pulang bersama kakak. Kedua mereka basah lenjun. Kakak menggigil kesejukan turun dari basikal Ayah.

‘Cepat naik, mandi dan tukar baju’ kata Ayah sambil menongkat basikalnya di bawah rumah.

Malam itu sebelum tidur aku dengar Ayah berbual dengan ibu. Ayah memujuk ibu berpindah semula ke baruh, tinggal di rumah pusaka Atok. Dia tak sanggup melihat kakak susah sangat pergi balik ke sekolah. Di baruh sekolah dekat dengan rumah. Lagi pun rumah kami di sini sudah tidak berapa selamat untuk dijadikan tempat tinggal. Kata Ayah biarlah dia berulang dari baruh ke bendang mengerjakan sawah, asalkan anak-anak dekat dengan sekolah. Kalau tidak pun dia akan cari kerja di baruh sahaja. Sepanjang perbualan malam itu aku dengar ibu teresak-esak menangis. Ketika itu aku tidak faham kenapa ibu sayu sangat bila mendengar kami akan berpindah ke baruh. Kenapa ibu keberatan tinggal di rumah pusaka Atok. Ketika itu, aku terlalu kecil untuk memahami semua itu!!

 

Catatan:

1 July 2013, Kakak telah pergi untuk selama-lamanya menemui Maha Pencipta. Kakak meninggal di usia muda, 48 tahun. Komplikasi paru-paru yang kakak deritai sekian lama. Hidup kakak sarat dengan jerih kepayahan. Sehingga kehujung usia, kakak cekal, bersemangat dan tabah menerima dugaan. Wajahnya sentiasa mengukir keceriaan untuk keluarga kami. Bibirnya tetap dihiasi senyum sampai ke saat tubuhnya kaku. Doaku “Duhai Kakak, damailah engkau di sana bersama para solihin mengadap Maha Pencipta” Dari sini ku titipkan bacaan Surah Al Fatihah untukmu..

Hari Sukan Sekolah Kebangsaan Bandar Tua.

SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR TUA
Photo courtesy of Pudzil Mohd Daud

Esok hari besar di sekolah. Selesai rehearsal penuh perbarisan guru besar berpesan esok semua murid pakai pakaian yang cantik dan bersih. Pakai kasut dan stokin. Jangan pakai selipar jepun atau berkaki ayam.Semua murid pulang lewat petang hari itu. Kami menghias rumah sukan masing masing. Ramai kalangan orang kampung turut serta. Membantu apa yang perlu. Ada juga yang datang sekadar bersembang-sembang kosong sesama sendiri. Ayah tak datang kerana dia perlu ke bendang, ambil upah potong padi lebih penting baginya.  Esok mungkin ayah akan meluangkan masa ke hari sukan sebenar.

Hari itu memang hari yang meriah. Hampir semua orang dari Kampung PasirJenderis dan Kampung Bandar Tua turut dengan anak-anak ke sekolah. Sukan Tahunan setahun sekali. Hari besar untuk seisi kampung. Dari pagi, suara Sudirman, Hail Amir dan Uji Rashid telah berkumandang di corong pembesar suara. Itu mesti lagu-lagu dari piring hitam pilihan Cikgu Rashid. Kami anak-anak terlampaulah gembiranya hari itu. Semua seboleh mungkin berpakaian rapi. Walau pun masing-masing ada kekurangan, semua cuba merapikan diri sebaik mungkin. Cikgu-cikgu juga begitu. Ini peluang melihat cikgu-cikgu memakai tali leher setahun sekali. Hari ini Ustaz Mahmuddin tak pakai kain pelekat berketayap putih seperti biasa. Hari ini dia berbaju melayu lengkap bersamping dan bersongkok.

Sukan SKBT 1982- courtesy of Cikgu Azizah Sabirin

Lamanya menunggu jam 8.30pagi. Jadualnya wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Kampung Gajah akan berucap dan merasmikan sukan hari ini. Semua orang tertunggu-tunggu. Ini peluang melihat Yang Berhormat ADUN yang baru menang kali pertama pilihan raya tempohari. Biasalah YB terlambat sikit. Kalau di bandar alasannya tentulah kesesakan trafik. Sebetulnya ada masalah di sampan tambang semasa menyeberang sungai. Air sungai surut sikit sejak dua hari lepas. Sampan tersangkut di beting pasir. Begitu yang diterangkan oleh Guru besar semasa ucapan alu-aluannya tadi. YB pun beriaya-iya menceritakan pengalamannya turun dari sampan mengharung air sungai yang cetek. Seisi kampung terpegun mendengar cerita YB walau itu bukan cerita baru kepada mereka. Air sungai membuak, banjir dan cetek perkara biasa. Musim tengkujuh naik, musim kemarau surut.

Selesai ucapan  YB makan jamuan ringan dan terus ke majlis lain.  Serentak dengan itu juga acara sukan bermula. Sekolah ini tak ada padang seperti kebanyakan sekolah lain. Padang untuk sekolah ini hanyalah ruang seluas 70X20 meter di antara dua blok bangunan sekolah. Balapannya cuma sepanjang 50 meter. Di hujungnya di pacakkan batang pinang setinggi 2 setengah kaki sebagai bollard. Untuk acara lari 100 meter, pelari akan berpatah balik mengelilingi bollard batang pinang tersebut. Tapi ini acara sukan sekolah rendah. Acara sukan untuk anak-anak kecil. Selebihnya acara-acara sukaneka untuk ibubapa. Balapan sepanjang 50 meter sudah mencukupi.

Sabarnya cikgu-cikgu melayan kerenah anak-anak kecil bersukan. Kaum bapa, pemuda dan pemudi turut sama membantu sebagai penyelia dan pegawai sukan. Suara Cikgu Zinuddin dan Cikgu Mazyah rancak di corong pembesar suara berceloteh mengulas gelagat anak-anak bersukan. Kaum ibu sibuk memasak di khemah berhampiran telaga di belakang blok sekolah. Semua yang datang akan dijamu makan tengahari. Wan Lijah, Wan Rabeah, Makcik Som dan Wan Timah rancak memasak. Pak Bidun jadi tukang arah. Kerja masak-memasak bergotong royong begini perkara biasa. Setiap kali kenduri-kendara di kampung inilah team tukang masaknya.

Selesai acara untuk murid sekolah bermula acara sukaneka untuk orang dewasa. Acara lawan kukur kelapa, lari dalam guni, berbasikal lambat, anyam ketupat semacam acara wajib. Kemuncaknya acara lawan tarik tali antara kampung. Ini acara paling menarik. Hampir semua orang turut serta. Paling tidak sebagai tukang sorak. Cikgu-cikgu yang bukan orang kampung menjadi pengadil pertandingan yang sengit itu. Keputusan pertandingan ini penting. Keputusan perlawanan ini akan di ulas di kedai-kedai kopi untuk beberapa lama. Untuk setiap orang ini pertandingan mempertahankan maruah kampung masing-masing. Sidang Hambali dan Sidang Rozali sibuk mengatur anak buah masing-masing akan mengambil bahagian. Mengatur siapa yang duduk di depan dan siapa yang menjadi anchor. Sebaik wisel di tiup orang ramai akam bersorak menyokong pasukan kampung masing-masing. Gempita dengan jeritan dan sorakan. Wisel penamat berbunyi dan pemenang di kenalpasti. Pun begitu, walau siapa pun yang menang kedua-dua pihak tetap bersorak gembira.

Semasa menikmati jamuan makan tengahari semua orang bercerita kemeriahan sukan kali ini. Sambil makan, anak-anak berbangga menunjukkan hadiah yang dimenangi. Walau sekadar bekas pensel atau pensel warna. Orang dewasa turut terbawa-bawa gembira menyangkut tuala yang di menangi di bahu. Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Bandar Tua berakhir dengan jayanya. Semua warga merasakan kejayaannya. Terlihat rasa kepuasan diwajah mereka semua. Cerita sukan yang baru sahaja selesai akan kekal di bibir warga kedua-dua kampung untuk beberapa lama. Sememangnya mereka wajar merasa gembira kerana merekalah yang merancang dan menjayakannya.

Ramadhan dan Syawal 1431

Saat ini sayu kerana di hujung Ramadhan. Entah ketemu entah tidak lagi bulan mulia penuh barakah ini tahun hadapan. Jika ini Ramadhan terakhir rugi benar rasanya. Terhad benar aku mengejar dan mendapatkan manfaatnya. Banyak benar kekangan dan halangan yang kebanyakannya di reka-reka dan diada-adakan sendiri. Fitnah-fitnah kebendaan, anak-anak dan isteri mendominasi ramadhan kali ini. Bukan penyerahan diri kepadaNya dalam bentuk beribadat dan mengagungkanNya. Semoga Madrasah Ramadhan tahun  ini berkesan di hati walau pun sempit ruangnya. Hendaknya berpeluang untuk Ramadhan yang lebih lapang dan baik di tahun hadapan.
“Ya Allah engkau berilah kesempatan buatku bertemu Ramadhan yang akan datang. Sesungguhnya di Ramadhan tahun ini akulah manusia yang lalai leka dan rugi. Cuma sekelumit penyerahan ku kepadaMu. Berbanding gunung dan lautan rahmat barakah dan keampunanMu  di bulan mulia ini. Pun begitu engkau ampunilah dosa-dosa ku dan terimalah ibadat ku yang segitu itu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Amin ya Rabbulalamin”

Esok lusa datang pula syawal. Bulan kemenangan bagi yang telah berjuang di Ramadhan. Aku memalukan diri menumpang kejayaan tersebut. Semoga aku menyambutnyaa penuh dengan bimbingan syariat.

Salam buat Ayahanda dan Bonda. Jari sepuluh kususun memohon maaf dari keduanya. Tak mengira kesalahan tingkah laku, gerak gaya, tutur dan kata. Semuanya pohon diampunkan. Siapalah anak mu ini tanpa keampunan dan restu ayahbonda berdua.

Kepada sanak saudara, handai taulan kenalan jauh dan dekat di ucapkan faizin.JPGPohon maaf tersilap kata, terkasar bahasa, tersindir dan terguris. Baik yang sengaja, disedari atau tidak. Pohon halalkan termakan terminum. Semoga kita semua sentiasa dalam keampunan, keredaan dan rahmatNya.

Wassallam

Indahnya Ramadhan.

Hari ini dah masuk hari ke4 Ramadhan. Ini tahun ketiga saya berdepan Ramadhan jauh di perantauan. Di Seoul Korea. . Hari ini di sini tidak lebih dari berlapar dalam cuaca yang berbeza.  Kebetulan di musim panas, puasanya lebih panjang. Berpuasa dalam masyarakat di mana umat Islam adalah minoriti. Cabarannya berlainan. Kalau di tanahair semuanya terbentang di depan mata. Dari suara azan subuh, teman anak-anak sekolah yang sama berlapar puasa, pasar ramadhan, suasana berbuka, riuh rendah tarawikh dan bermacam aktiviti Ramadhan yang lain. Di sini semua jauh berbeza. Begitu pun tuntutan syariatnya tetap sama walau di bumi mana sekali pun. Ini semua bumiNya. Kerana perbezaan itu, sebagai bapa, besar tanggungjawab yang perlu saya dilaksanakan. Semoga saya berjaya.

Juadah berbuka, tak banyak berbeza. Sebut sahaja, hampir semuanya ada. Sesama masyarakat kecil Malaysia di sini kami cuba menghidupkan amalan bertukar-tukar juadah berbuka. Mungkin telah lapuk dan kurang diamalkan di tanahair. Walhal semasa zaman kanak-kanak dulu budaya ini amat menyeronokan. Setiap petang berebut dengan adik-adik menghantar juadah ke rumah jiran. Tersengeh kegembiraan dengan juadah dari jiran di bawa pulang. Adanya pasar Ramadhan, segalanyanya semudah meluruskan telunjuk dan menyeluk wang dari saku. Tetapi di perantauan ini, segalanya perlu disediakan sendiri. Setiap petang anak-anak saya akan berebut-rebut menyebut juadah pilihan masing kepada isteri saya. Siisteri tanpa ada pilihan terpaksa mengikut kehendak anak-anak yang berpuasa. Kini setelah tiga kali Ramadhan, segalanya hampir perfect . Alah bisa tegal biasa. Ini betul-betul perubahan yang positive. Hendaknya bila kembali ke tanah air nanti anak-anak dapat membezakan juadah di pasar Ramadhan dengan juadah dari air tangan ibu mereka.

Roti jala dengan curry ayam favorite orang utara

Kalau di kampung dulu, selepas waktu berbuka membawa ke waktu sembahyang terawih adalah waktu yang paling mengembirakan. Kononnya segala hantu syaitan di rantai sepanjang Ramadhan. Maka kami, anak-anak berkeliaran sambil menunggu moreh bila orang dewasa selesai berjamaah tarawikh nanti. Bermain bunga api, sorok-sorok dan bermacam permainan lagi. Yang remaja, ini peluang berdating ketika itu. Kononnya ke surau bertarawikh. Rupanya bermadu kasih di sebalik gelap tak berjauhan surau. Berkain pelikat dan bertelekung, anak muda tercuri-curi bertemu dan bersembang sambil menunggu orang dewasa selesai bertarawikh. Semuanya atas tiket Ramadhan.

Di sini berjamaah bertarawikh ada di masjid. Dari pukul 9.00, selesainya 11.00 lebih. Tahun lepas ada iman jemputan dari Tanah Arab. Bacaannya menarik. Surah yang dibaca pun panjang-panjang melengkapkan untuk khatam sebulan Ramadhan. Kecuali esoknya cuti sekolah, saya mengajak anak-anak dan isteri isya’ dan tarawikh 8 rakaat di rumah. Surah lazim yang dibaca pendek-pendek. Sebelum 10.00 selesai. Sekali -sekala ada majlis berbuka puasa, magrib, isya’ dan tarawikh di perkarangan Pejabat Kedutaan. Semacam di kampung, berkumpul begini anak-anak paling gembira. Kekadang pula, ada yang menjemput berkumpul dan berbuka puasa dirumah bergilir-gilir. Berbuka solat berjemaah dan bersembang hingga larut malam. Ini antara pengalaman baru yang menyeronokkan. Jauh di perantauan mendekatkan kami dengan amalan orang tua-tua dahulu. Sesama rakan semakin akrab. Hendaknya dekat juga dengan amalan yang diredhai Allah.

Kelebihan Ramadhan seperti yang pernah dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (hadis riwayat Muslim).

Walau dimana pun kita menyambut Ramadhan Al Mubarak ini hendaknya kita tidak terlepas dari usaha menghidupkan Ramadhan dengan amal soleh. Hendaknya kita tidak terlepas rahmat, barakah dan keampunan Allah sempena bulan yang mulia ini

Malaikat Jibril pernah berdoa kepada Allah: Celakalah bagi golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan, tetapi setelah berpisah dari bulan tersebut, dosanya tidak diampunkan. Dan Nabi SAW mengaminkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad)

Kalau di kampung kuih ‘chemek’ ni favorite Opah


We just don’t know what to wish for

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penulis asal tulisan ini. Tulisan ini yang dikirimkan oleh seorang  ke email saya. Memang menarik. Saya olah semula untuk saya isi di dalam blok saya.

Ini kandungan email tersebut.

Minggu lepas saya sempat tonton sebahagian dari sebuah filem yang disiarkan di channel Vision Four. Tajuknya Interstate 60. Pelakon utamanya saya tak kenal tapi pelakon tambahannya ramai yang top2. Salah satu babak yang saya ingat sangat, ialah di awal cerita yang membabitkan pelakon terkenal, Micheal J.Fox. Dalam babak tu, Micheal kelihatan seperti seorang businessman yang sibuk.

Ketika itu dia sedang bercakap2 di handphonenya di dalam kereta. Di belakangnya ada seorang lelaki sedang mengayuh basikal sambil menghisap pipe. Tiba2 Micheal buka pintu keretanya dan akibatnya lelaki tersebut terlanggar pintu tersebut dan tergolek. Tengah tergocoh2 & sibuk mintak maaf tuh, handphone Micheal terlepas dari tangan. Sampai je ke atas jalan, datang satu trailer lenyek handphone. Apa lagi, menyumpah seranah la dia.

Yela… Sebagai businessman, tentu handphone tu alat penting untuknya. Dalam keadaan marah, terkeluar dari mulut Micheal (lebih kurang la…) “Saya harap ini tak pernah terjadi”. Rupa2nya lelaki yang bawa basikal tadi ada kuasa magik. Dia mampu ulang balik masa dan mereka kembali ke satu keadaan di mana Micheal masih dalam kereta dan lelaki tadi masih menunggang basikalnya.

Bila tiba hampir ke kereta Micheal, dia berhenti. Tiba2 Micheal keluar dari kereta. Kali ni lelaki tadi tak melanggar pintunya seperti sebelum ini. Jadi Micheal terus rancak berbual hinggalah tiba2 datang trailer dan melanggar Micheal J. Fox. Lelaki tadi, yang berada di belakang kereta Micheal & memerhatikan segalanya, bekata “Some people just don’t know what to wish for” (Sesetengah orang tak tahu apa yang patut diminta).

Apa kesudahan filem ini saya tak tahu sebab saya tak menontonnya hingga selesai. Tapi saya cukup tertarik dengan perkataan lelaki yang berbasikal tu. Sesetengah orang tak tahu apa yang patut mereka minta. Bukankah hamper kita semua begitu? Dalam filem tadi, Micheal mengharapkan kemalangan tu (basikal langgar pintu keretanya) tak berlaku supaya handphonenya terselamat. Tapi tanpa kemalangan itu, dia pula yang maut.

Ini satu telefilem fiksyen. Rekaan semata. Tapi perkara ni sebenarnya berlaku dalam kehidupan harian kita. Seringkali kita meminta perkara yang macam2 seolah2 itulah yang terbaik untuk kita. Persoalannya, tahukah kita apa yang terbaik untuk kita?

Mungkin juga kita terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan orang yang tersayang. Pasti tercalit dalam hati keinginan untuk mengembalikan masa itu supaya kemalangan itu dapat dielakkan dan nyawa orang kesayangan kita juga selamat. Persoalannya, adakah apa yang kita perolehi sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim atau pilih kasih dengan memberi sesetengah orang nikmat manakala setengah lagih azab? Bukankah Allah itu Maha Adil? Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu, mengapakah ada sesetengah dari kita yang bernasib malang manakala sesetengah yang lain bernasib baik sepanjang hidup mereka?

Sebenarnya, kita adalah apa yang kita minta (we are what we wish for). Kadangkala tatkala kita berdoa, kita sendiri kurang faham dengan apa yang kita minta. Ada orang berdoa minta selamat. Akan tetapi Allah berikan dia dari sihat jatuh sakit. Bagaimana itu? Itu hanyalah sebagai ujian kesabarannya. Seandainya imannya tetap kuat, insyaAllah dia akan selamat di akhirat kelak. Selamat juga, bukan? Adakah Allah menolak permintaannya? Tidak! Bahkan Allah meletakkannya ke tempat yang lebih tinggi

Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? ‘Grass is always greener on the other side’. Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu lebih baik dari apa yang kita miliki. Nabi saw telah menasihatkan agar kita melihat orang yang di bawah. Jangan melihat orang lebih tinggi kerana itu akan membuat kita tidak bersyukur.

Masa saya grad, ekonomi negara benar2 sedang menjunam. Saya ke hulu ke hilir mencari kerja. Akhirnya saya bekerja sebagai operator di kilang metal stamping. Gaji RM400 sebulan. Tiada OT. Tolak itu, tolak ini, dapatlah RM350. Hm… Cukup? Dah tentu tidak. Ketika itu saya hanya memiliki sebuah motor Yamaha 110SS hadiah ayah sempena dia dapat EPF. Isi minyak dengan makan dah habis. Ketika itu saya fikir, dapat gaji RM750 pun jadilah.

Kemudian saya bekerja sebagai Lab Technician. Betul2 saya dapat RM750. Cukup? Tak juga. Masa tu saya mula terfikir. Dapat gaji RM1500 pun dah cukup. Allah tunaikan lagi. Bekerja pula di petrochemical plant. Sebagai trainee, dapat la RM1500 sebulan. Ya Allah… tak cukup juga. Sebab masa tu saya dah beli kereta Iswara. Saya fikir, dapat RM2500 cukup la. Tapi bila dapat banyak tu, saya tukar kereta pula. Kesimpulannya tak cukup juga!

Memang takkan cukup. Nafsu itu adalah benda yang paling besar!

Sekarang, ketika kawan2 saya berlumba masuk syarikat lain yang offer gaji 2 – 3 kali ganda, saya tetap di sini. Kalau ada yang bertanya kenapa saya tak ikut mereka, senang saya katakan. Saya selesa di sini. Kalau solat saya panjang, bos tak pernah marah. Sedang rakan2 saya di syarikat baru dibenarkan solat hanya dalam masa 5 minit sahaja.

Kini saya dah pandai mengatakan cukup. Cukuplah sebanyak ini yang Allah beri. Sekiranya diberi lebih, Alhamdulillah. Sekiranya semakin kurang, semoga Allah perkuatkan iman saya menghadapi dugaan mendatang. Yang penting bagi saya, apa yang saya perolehi ini halal dan diberkati. Pesan Nabi saw kepada Saiyidina Ali ra supaya jangan mengira2 rezeki untuk hari esok kerana Allah menurunkan rezeki pada tiap2 hari. Ini benar2 terkesan dalam hati saya.

Saya hanya mengajak saudara2 sekalian terutamanya diri saya sendiri untuk berfikir. Apa yang kita buru? Apa yang kita cari? Apa yang kita dapat? Berapa kali pernah kita bersyukur dan berapa kali pernah kita katakan cukup?
Cukup atau tidak apa yang kita ada, bergantung kepada cukup atau tidak kita bersyukur ke hadrat Allah. Juga bergantung cukup atau tidak kita tambat nafsu kita. Yang penting tiap kali selepas solat, berdoalah pohonkan Allah berikan yang terbaik buat kita. Nabi saw pernah memberitahu, orang yang tidak berdoa selepas solat adalah orang yang sombong. Dalam hadith yang lain, Baginda saw berkata orang yang sombong adalah syirik kerana hanya Allah yang layak untuk bersifat sombong. Wallahu’alam…

Ya Allah! Ampunkanlah kami ya Allah. Selama ini kami leka. Selama ini kami lalai dalam mengejar nikmat dunia hingga kami lupa janji nikmat syurga Mu. Cukupkanlah kami dengan apa yang Kau beri. Dan jadikanlah kami insan yang tahu bersyukur. Amin… Ya Rabbal ‘Alamin…

Thanks to

BIRO AGAMA & KEROHANIAN

KELAB MATRADE

Sekolah Kebangsaan Bandar Tua

Wajah baru Sekolah Kebangsaan Bandar Tua 2010. Jalan tar dan pagar batu Photo courtesy of Pudzil Mohd Daud

Jan 1978. Hari pertama, melapur diri di sekolah. Gementar pun ada. Bagaimana rupa sekolah, rakan-rakan guru dan murid-muridnya?

Perjalanan menaiki kereta 1 jam dari Teluk Intan. Menumpang kereta Cikgu Seth ( guru besar). Kesemua kami, seorang lelaki dan 3 perempuan termasuk aku. Kami yang perempuan duduk di belakang. Masing-masing memperkenalkan diri. Cikgu Azizah dan Cikgu Hamidah. Agak sempit kereta Datsun 120Y untuk kami berlima. Larat ker badan ni kalau tiap hari berhimpit begini? Cikgu lelaki tu selesa duduk di depan. Cikgu Zinuddin namanya, umur awal 20an agaknya. Cikgu Seth memanggilnya Cikgu Din. Tak henti-henti bercerita. Dia dah lebih 5 tahun mengajar di situ. Bunyi seperti dia amat sukakan sekolah itu. Atau mungkin sekadar membodek di depan guru besar agaknya. Cikgu Seth memang asalnya orang kampung berdekatan sekolah berkenaan. Takkan pulak Cikgu Zinuddin nak bercerita buruk pasal sekolah itu.

Cikgu Seth berpesan” Ada apa-apa mintak tolong kat Cikgu Din ni, dia orang lama di sini”

Hah, menyeberang sungai? Kereta Datsun 12 0Y Cikgu Seth berhenti di sebelah tempat menunggu sampan tambang. Tak tahu pun nak ke sekolah tu kena menyeberang sungai. Ada beberapa orang lain telah sedia berada di situ. Guru-guru sekolah yang sama rupanya.

” Kenalkan ini Cikgu Rashid”

“Shed, ini cikgu baru Cikgu Salmah”

Di gigi sungai siap menunggu sebuah sampan kayu beratap zink. Boleh muat 10 ke 15 orang. Sampan ni ada motor kecil tersangkut di bahagian belakang. Air sungai nampak deras.

‘ Moen, ni cikgu Salmah’ sergah cikgu Rashid pada pemuda yang mengendalikan sampan tersebut.

Kaki ku mengeletar mendekati sampan di gigi air. Aku memang takutkan air. Tak pernah seumur hidup menaiki sampan. Tak nampak jacket keselamatan pun. Tak tahu berenang. Kalau jatuh alamat lemas ler aku. Kalau sampan ni karam mati jawabnya. Hari-hari ker aku kena lalui pengalaman ini?

‘Jemput naik Cikgu’ pelawa Moen.

Aku terhoyong hayang ikut golek sampan tersebut. Boleh muntah ker ni nanti? Aku nampak cuma ada 6 inci sahaja membezakan paras air dari memasuki sampan yang kami naiki. Orang lain aku lihat galak bersembang dalam bunyi bising motor sangkut sampan. Dia orang ni tak tau takut ker? Nasib baik cuma 15 minit di atas air. Puas aku menahan nafas. Lemas agaknya kalau lebih lama.

Kemudiannya dari sampan tambang tadi berjalan kaki ke sekolah. Jalan tanah merah. Pagi tu kering. Kalau hujan bagaimana agaknya? Kiri kanan hutan kampung dengan pokok getah , pokok buahan dan belukar kecil. Rumah-rumah terasing jauh antara satu dengan yang lain. Orang-orangnya yang aku terserempak nampak ramah. Ada saja senyuman di wajah mereka. Walau ini kali pertama. Mungkin ada peluang lain untuk bermesra. Jauh juga perjalanan itu. Setengah jam. 5.30 dari rumah tadi. Nah hampir 8.00pagi baru sampai. Letih perjalanannya.

Blok Putih berlatar belakangkan pokok durian dan langsat . Photo courtesy of Pudzil Mohd Daud

Akhirnya aku sampai ke Sekolah Kebangsaan Bandar Tua. Pagarnya dari tumbuhan buluh cina yang di jaga rapi. Dua blok bangunan kayu satu tingkat. Satu beratap zink. Satu lagi beratap asbestoz. Warnanya pun cukup berbeza antara satu sama lain. Satu putih, satu lagi warna coklat kehitaman. Di laman antara kedua-duanya  menghijau rumput yang di potong nipis rapi. Latar belakang blok-blok bangunan ini, pokok pinang, pokok langsat dan pokok durian. Di hadapannya, di pisahkan oleh jalan tanah merah, paloh dan pokok getah. Di paloh itu, di bahagian berairnya di penuhi pokok bemban. Mungkin banyak ikan menyorok di situ. Lebih ke baroh sungai.

Semasa kami sampai murid-murid  sedang berbaris di laman bangunan hitam dan putih berkenaan. Berdiri menghadap dua tiang bendera. Murid-murid keriangan melihat cikgu-cikgu mereka sampai. Kami yang baru sampai terus mengambil tempat berdiri mengadap pelajar-pelajar. Cikgu Seth berucap. Aku melihat murid-murid di depan ku seorang demi seorang. 6 baris, tidak lebih 25 orang setiap baris. Melihat pakaian seragam mereka. Ada yang jelas nampak baru dan ada juga yang jelas lusuh. Kasut putih sekolah yang baru di kapur. Kasut getah putih bercampur warna tanah. Pelajar nakal dengan butang baju yang tidak disemat mengusik pelajar perempuan di depannya. Beberapa pelajar lelaki lain sibuk bercakap sesama mereka. Pelajar perempuan bertocang dua tekun mendengar ucapan guru besar. Beberapa mata liar memandang ke arah aku . Orang baru di sini hari ini. Pandangan mereka penuh dengan tanda tanya. Mereka seperti tidak sabar untuk mengenali aku. Nantilah akan aku ceritakan semuanya nanti.

Tiba-tiba bahu ku di sigung. ‘ Angkat tangan’ bisik cikgu Hamidah.

Cikgu Seth memperkenalkan nama aku. Murid-murid menyambut dengan tepukan. Betul aku sudah di sekolah ini. Yang duduknya entah di mana jauh di pendalaman. Untuk sampai pun dah cukup susah. Aku kena mengajar di sini?  Hari-hari bertolak 5.00 pagi? Balik nanti pukul berapa aku sampai di rumah? Ini kehidupan aku mulai hari ini? Hari ini, esok dan esok-esoknya?

Photo Courtesy of Pudzil Mohd Daud

Pengorbanan Seorang Ayah

Ayah dan Emak

Ayah bukan orang berpelajaran. Bersekolah setakat darjah 3. Berhenti mungkin kerana desakan hidup. Kata Ayah rakan sekolahnya yang mampu sambung belajar, semua jadi orang besar-besar. Dengan bangga Ayah menyebut nama-nama beberapa orang pegawai besar kerajaan kawan sekelasnya dulu. Emak berhenti sekolah sehingga darjah 5. Emak layak untuk sambung ke darjah 6 dan 7 . Datuk tak benarkan Emak bersekolah di bandar masa itu. Bagaimana hendak melepaskan anak perempuan belajar berjauhan dari rumah di zaman itu. Kata emak rakan-rakan lelaki sekelasnya yang meneruskan pelajaran ramai yang jadi orang besar. Yang berhenti darjah 5 pun, tetapi menyambung berkursus dapat jadi cikgu. Ramai yang  jadi guru besar kemudiannya.

Namun begitu tekad Ayah dan Emak cukup besar. Menyekolahkan anak setinggi mungkin. Dari kami kecil Ayah sering menyebut dia akan berusaha gigih supaya  tiada anak anaknya berhenti sekolah kerana kesempitan hidup. Falsafah ayah mudah.  Pelajaran menjamin masa depan anak-anak, harta belum tentu menjamin kebahagian. Kata Ayah ‘ Aku tak bekalkan harta, tapi pelajaran, kerana itu akan menjamin masa depan’. Bila kami adik beradik mendapat keputusan yang baik di sekolah, jiran-jiran sering menyebut kemana tumpahnya kuah. Emak dulu pun antara pelajar pintar di sekolah. Kalaulah Emak diberi peluang meneruskan pengajian, entah jawatan pegawai besar mana Emak pegang.

Tanpa kelulusan, Ayah sekadar kerja kampung. Kais pagi makan pagi. Apa saja kerja yang boleh mendatangkan wang akan Ayah kerjakan. Seingat aku Ayah pernah bekerja mencari rotan, mengambil upah menebas membersih taliair, mengambil upah mengetam dan membanting padi, berniaga aiskrim, meruncit ikan, meraih dan meruncit ayam kampung dan menoreh getah.  Kemana-mana Ayah akan berbasikal dengan carrier besarnya untuk mencari rezeki. Dengan basikal itulah Ayah meraih ayam di serata kampung-kampung berdekatan. Ayah akan berkayuh pergi balik lebih 50 kilometer 3 atau 4 kali seminggu ke Tanjung Tualang meruncit ayam kampung kepada pekerja lombong bijih di sana. Kerapnya Ayah ketandusan modal untuk meraih. Semntara itu Ayah terpaksa mencari kerja lain buat mengumpul modal.

Musim menuai, peluang baik tambah pendapatan untuk bekal di hari hujan. Pun begitu upahnya kecil. Sehari RM 6.00 dari pukul 8.00 sampai 3.00 petang. Kerana menoreh getah di sebelah pagi ayah dan emak mula pukul 10.00 habis 5.00 petang. Walaupun kerja kuat, harga getah murah, upah potong padi rendah. Gaji ambil upah dua minggu sekali. Untuk belanja harian ayah perlulah menoreh getah awal pagi.

Aku kagum melihat kekuatan Ayah dan Emak. Siang malam bekerja. Emak akan bangun awal membuat kuih untuk kami jaja di sekolah. Kalau hari tidak hujan, Ayah sudah meyembah batang pokok getah sebaik subuh. Kemudian keduanya ke bendang menaiki basikal lebih satu jam perjalanan. Malamnya emak memasak sebahagian kuih untuk dijual di sekolah esok. Itulah rutin setiap hari.  Hasilnya tak seberapa. Tapi mungkin janji Tuhan begitu. Balasan hasil kerja bukan semata-mata berapa yang dikaut hasil kerja di hari itu. Keberkatan rezeki lebih bermakna. Walau penat bekerja, aku melihat setiap hari wajah Ayah dan Emak ceria.

Kalau musim buahan, Ayah akan berniaga durian. Ayah menjadi peraih durian di kampung dan menjualnya di Ipoh. Dia keluar selepas subuh dan pulang dinihari.  Meskipun balik lewat, ada saja buah tangan yang di bawa Ayah pulang dari berniaga durian. Mee goreng, kuih pau, roti canai dan sebagainya. Itu hidangan istimewa, sebelum tidur biasanya kami pesankan Emak untuk dikejutkan supaya tidak ketinggalan. Bangunlah kami  pukul 2 atau 3 pagi menikmati buah tangan yang di bawa Ayah. Adik-adik yang masih kecil  kadang-kadang hampir seminggu tak melihat wajah Ayah. Hujung musim durian biasanya berpeluang menukar baju sekolah yang baru. Masa ini jugalah membeli baju raya, padahal hari Raya nun masih jauh. Takut sampai raya nanti duitnya dah tak ada lagi.

Dalam keadaan kerja dan pendapatan ayah yang tidak seberapa, keperluan kami kesekolah tak pernah kurang dari orang lain. Baju, kasut beg dan buku cukup semuanya. Masa itu ramai kawan-kawan pakai kasut getah ke sekolah. Kami adik-beradik pakai kasut kain. Berkapur putih. Baju pulak pakai tak lebih 3 hari sahaja.  Kerana ayah belikan dua pasang tiap seorang. Emak atau kakak akan gosokkan dengan strika arang. Bila sahaja minta keperluan sekolah, pasti Ayah usahakan. Keperluan lain akan ditangguhkan dulu. Belanja ke sekolah pun begitu. Selalunya 10 sen sehari. Kadang kadang 5 sen atau emak sediakan bekal. Seingat aku belanja sekolah bukan isu besar kerana kami adik beradik jual kuih yang emak buat di sekolah. Duit jualan kuih akan jadi duit belanja.

Hari ini dalam fizikal yang dimamah usia, aku dapat melihat Ayah dan Emak tersenym puas. Usaha keras mereka dahulu, sewaktu membesarkan 10 orang anak, benar-benar berhasil. Setiap kali Ayah dan Emak mendaki tangga ke dewan Universiti untuk menyaksikan pengijazahan anak-anak, setiap kali itulah senyum mereka melebar. Inilah  janji Tuhan yang lebih hakiki. Kalau usaha keras mereka dulu di kurniakan Tuhan dengan hasilsegera berupa timbunan harta, mungkin tidak begini sudahnya. Allah Maha Kaya, itulah ucap Ayah dan Emak bersyukur dengan nikmat yang dilimpahkanNya.